4 Sept 2013

Lebih 16.8 juta rakyat Malaysia menghidap OBESITI.Apakah itu OBESITI?

Salam,

Nak bercerita sikit penyakit yang disebabkan oleh berat badan berlebihan iaitu OBESITI
Ada yang dah tahu ada yang belum tahu kan
Ok jom baca info dibawah ni ye
Sebelum tu baca dulu fakta di bawah ni ye:-

Masalah obesiti di negara ini semakin meningkat apabila lebih 16.8 juta penduduk menghidap penyakit itu yang berpunca daripada amalan gaya hidup dan pemakanan tidak seimbang.

Pengarah Eksekutif Institut Nasional Diabetes Malaysia (Nadi), Datuk Profesor Mustaffa Embong, berkata, secara kasarnya rakyat negara ini mengalami masalah kegemukan dan peratus wanita mendapat penyakit itu lebih tinggi berbanding lelaki.

"Wanita bersalin antara yang berpotensi mengalami kegemukan dan pertambahan kelahiran juga menyebabkan berat badan semakin bertambah," katanya.

Katanya, faktor wanita mengalami lebihan berat badan berikutan kurang melakukan aktiviti sihat selain faktor pemakanan seperti banyak mengambil banyak kandungan kalori, digoreng atau kari menyebabkan peratus golongan berkenaan menghidap penyakit itu lebih tinggi berbanding lelaki.

Menurutnya, perkara itu perlu dipandang serius kerana ia menyumbang kepada pelbagai masalah lain kepada rakyat dan kajian juga menunjukkan bahawa 15 peratus daripada kanak-kanak berusia 12 hingga 19 tahun mempunyai masalah berlebihan berat badan.

"Penghidap obesiti di Malaysia begitu besar jumlahnya setanding dengan negara maju seperti Amerika Syarikat dan ia berpunca daripada pengambilan makanan segera yang mendatangkan pelbagai kesan serta risiko.

"Kita dapati kebanyakan mereka terdedah kepada penyakit lain seperti kanser, diabetes, pereputan tulang, serangan jantung dan beberapa penyakit lain," katanya.

Hadir sama, Pengerusi dan Pakar Perunding Endokrinkologi Pusat Perubatan Tropicana, Datuk Profesor Khalid Abdul Kadir dan Duta Rasmi Kempen LEAP, Jojo Struys.

Mustaffa berkata, penghidap kencing manis (diabetes) di Malaysia kini sebanyak 3 juta orang, jauh lebih tinggi daripada jangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelang 2025, iaitu hanya kira-kira 800,000 orang.

"Peningkatan penghidap diabetes di Asia termasuk Malaysia semakin membimbangkan dan sudah dilihat sebagai wabak di negara membangun. Daripada jumlah itu, wanita India paling ramai menghidap diabetes diikuti lelaki India, wanita Melayu, lelaki Melayu, wanita Cina dan lelaki Cina.

"Peningkatan jumlah itu boleh dikaitkan dengan cara hidup atau perubahan cara hidup yang membabitkan pengambilan gula berlebihan," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan darah perlu dilakukan bagi mengesan diabetes sebelum ia berkembang.



Apa itu Obesiti?

OBESITI merupakan pengumpulan lemak berlebihan yang menimbun di dalam badan seseorang. Obesiti kini dianggap sebagai satu penyakit dan terjadi apabila tisu-tisu lemak menjadi keterlaluan. Lebih teruk lagi, obesiti boleh mengganggu dan mencederakan organ-organ badan dan seterusnya akan menyebabkan masalah kesihatan yang serius. Selain daripada mengehadkan kegiatan fizikal dan sosial, jangka hayat penghidapnya juga semakin pendek.

Siapakah tergolong dalam golongan Obesiti


  1. Mempunyai berat badan sekurang-kurangnya dua kali lebih berat berbanding ukuran ideal;
  2. Mempunyai berat badan sekurang-kurangnya 45 kilogram melebihi berat badan sepatutnya;
  3. Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 40 atau 35 ( klik link ini untuk kira BMI anda:sini)
  4. Mengalami beberapa penyakit seperti tekanan darah tinggi atau diabetes(kencing manis); dan
  5. Gagal mengekalkan berat badan yang sihat dalam jangka panjang sekalipun mengikut diet yang disarankan oleh pakar-pakar pemakanan.
  6. Obesiti terjadi apabila pengambilan tenaga melebihi keperluan. Anda dikatakan obes sekiranya Indeks Jisim Tubuh (IJT) anda mencapai 30.0 kg/m2 atau lebih.
Apakah penyebab berlebihan berat badan dan obesiti?

Berlebihan berat badan atau obesiti adalah akibat ketidakseimbangan tenaga dimana pengambilan melebihi penggunaan pada jangka masa yang panjang.Pengambilan makanan yang tinggi kandungan lemak dan kalori serta penurunan tahap aktiviti fizikal juga merupakan faktor penyumbang utama masalah kegemukan dan obesiti.

Masalah lain juga boleh menyebabkan kegemukan. Ini termasuk:


  1. Pengambilan sesetengah jenis ubat
  2. Penyakit seperti hypothyroidism, penyakit Cushing’s hypothalamic tumors.
  3. Pengurangan mendadak tahap aktiviti fizikal (ahli sukan yang bersara)
  4. Ketidakseimbangan hormon

Apakah masalah-masalah kesihatan yang berkaitan dengan kegemukan?



Penyakit jantung dan tekanan darah tinggi.
Risiko penyakit jantung yang berkaitan dengan obesiti adalah lebih akut di kalangan orang dewasa muda. Risiko juga tinggi dikalangan mereka yang berlebihan lemak pada bahagian abdomen.

Tekanan darah tinggi dan angin ahmar.
Orang dewasa muda (berumur 20-44 tahun) yang berlebihan berat badan mempunyai risiko mendapat tekanan darah tinggi sebanyak 5.6 kali lebih tinggi berbanding mereka yang mempunyai berat badan normal.
Kencing Manis. 
Terutama di kalangan dewasa yang mempunyai berlebihan lemak di bahagian abdomen.
Kanser.
 Beberapa kajian menunjukkan kaitan yang positif antara berlebihan berat badan dan kanser terutama yang diakibatkan oleh hormon seperti kanser payu dara, kanser serviks, kanser uterus dan kanser ovari dan prostat.
Masalah endokrin. 
Kitaran haid yang tidak tetap, masalah berkaitan haid yang lain, dan masalah komplikasi kehamilan, terutamanya toksemia dan tekanan darah tinggi.
Penyakit pundi hempedu. 
Obesiti adalah faktor risiko bagi penyakit pundi hempedu bagi lelaki dan perempuan pada semua peringkat umur. Risiko tersebut semakin meningkat apabila terdapat lebihan lemak di bahagian abdomen.
Penyakit paru-paru. 
Individu yang obes mengalami masalah pernafasan. Ini mungkin diakibatkan oleh pengecilan rongga toraks akibat pengumpulan lemak di bahagian rusuk, abdomen dan diafragma.
Arthritis.
 Individu yang obes adalah berisiko tinggi untuk menghidap gout artritis iaitu keadaan yang sangat menyakitkan. Berlebihan berat badan akan memberi tekanan pada sendi-sendi, bahagian belakang dan lutut. Akhir sekali ia akan menyebabkan osteoartritis.
Bagaimana untuk menurunkan berat badan?


  1. Runding dengan doktor anda untuk mengenalpasti dan mengatasi masalah perubatan, biologi atau masalah psikologi yang menyebabkan masalah berlebihan berat badan.
  2. Runding dengan pakar pemakanan atau pakar diet dari klinik atau hospital untuk mendapatkan nasihat cara menurunkan berat badan secara sihat dan selamat.
  3. Anda perlu tahu keperluan tenaga harian anda supaya anda boleh mengurangkannya untuk menurunkan berat badan anda.
  4. Rujuk contoh menu mengikut keperluan kalori anda.
  5. Jangan terlalu mengurangkan pengambilan kalori kerana jika anda betul-betul lapar, anda akan makan berlebihan.
  6. Makanlah mengikut saranan daripada Piramid Makanan Malaysia. Banyakkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh. Jangan hindar terus sumber gula dan lemak kerana ini boleh meningkatkan keinginan anda untuk makan. Selain itu, tubuh badan anda juga memerlukan nutrien yang terdapat dalam lemak dan karbohidrat.
  7. Paling Penting: Lakukan senaman dengan konsisten. Mulakan dengan berjalan beberapa minit dan perlahan-lahan tingkatkan jangka masa senaman sehingga 45-60 minit sehari setiap hari. Jika anda belum pernah melakukan senaman, dapatkan nasihat daripada doktor anda terlebih dahulu.
  8. Dapatkan sokongan daripada keluarga, rakan-rakan dan kumpulan sokongan.


Ingat :

 Penurunan berat badan yang sihat dan realistik memang mengambil masa. Kehilangan ½ kg seminggu mungkin tidak memotivasikan anda, tetapi jika terlalu cepat berat badan diturunkan, anda akan membuat diri anda lapar dan akhirnya anda akan makan lebih banyak.

 Obesiti ataupun masalah kegemukan merupakan satu ancaman yang semakin serius kepada rakyat di negara ini. Saban tahun, kajian telah dijalankan bagi mengetahui peratusan dan tahap obesiti bagi penduduk di negara ini. Hasilnya adalah amat menakutkan kerana pertambahannya yang begitu drastik dari tahun ke tahun menunjukkan tahap kesedaran masyarakat kita masih amat berkurangan terutamanya berkaitan dengan soal pengambilan makanan seharian.
"Soal Selidik Pemakanan Kebangsaan 2002/2003 yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan ke atas orang dewasa mendapati, masalah berlebihan berat badan meningkat kepada 27% (4.2 juta) berbanding hanya 16.6 % (1.7 juta) pada 1996."
Bagi tahun 2006 pula, peratusannya telah meningkat menjadi semakin tinggi sehingga mencapai 43.1% dan telah direkodkan sebagai antara negara yang mengalami tahap obesiti tertinggi di Asia. Peningkatan sebanyak 16% dalam tempoh 3 tahun telah cukup untuk membuktikan bahawa kita semua harus berubah dan perlu mengambil serius tentang isu obesiti ini.
Data dan statistik di atas jelas menunjukan bahawa negara kita bakal menghadapi satu krisis kesihatan yang teruk sekiranya tahap kesedaran berkaitan makanan ini tidak dipupuk kepada masyarakat kita. Fenomena 5G iaitu Gebu, Gemuk, Gempal, Gendut dan Gelebar akan berleluasa disegenap peringkat umur masyarakat kita. Malah yang lebih membimbangkan adalah 1001 penyakit kronik yang dikaitkan dengan obesiti bakal dihadapi sekiranya aspek ini tidak diambil serius.

0 comments:

Post a Comment